Cef selebriti yang juga penyanyi Datuk Fazley Yaakob meluahkan rasa kesal terhadap industri hiburan tanah air selepas pemergian pelakon senior, Ridzuan Hashim.
Tambahan lagi apabila mengetahui tentang Allahyarham yang terpaksa merahsiakan penyakit jantung dihidapinya kerana bimbang tidak diberikan tawaran kerja.
Fazley berkata, sampai bila industri hiburan akan terus-terusan menyekat periuk nasi para penggiat seni selepas mengetahui mereka mempunyai penyakit.
Katanya, ‘budaya’ ini perlu dihentikan kerana sampai bila pemain industri perlu merahsiakan sakit mereka semata-mata untuk mendapatkan rezeki yang halal.
“Terpaksa rahsiakan penyakit kerana takut hilang job…” Terlalu pedih ayat ini untuk ditelan. Adakah ‘pemberi rezeki’ kini telah menjadi terlalu jumud pemikiran mereka sehingga ramai sahabat-sahabat industri terpaksa ‘buat-buat sihat’ agar terus mendapat rezeki yang halal?
“Ini semua patut dihentikan. Tolonglah sahabat-sahabat semua, janganlah sampai pemergian mengejut berlaku lagi atas alasan yang sama; “rahsiakan penyakit kerana risau tak dapat job!”,” tegur Fazley menerusi sebuah hantaran di Instagram.
Menerusi ruangan kapsyen Fazley menambah, mencari sesuap nasi tidak seharusnya membebankan mereka yang uzur, apatah lagi ia merupakan mata pencarian seseorang.
Di ruangan komen, ramai yang bersetuju dengan pandangan dilontarkan Fazley selain berkongsi situasi sama turut berlaku dalam semua industri pekerjaan.
“Bukan dalam industri seni sahaja, di luar sini pun ramai syarikat tak mahu orang yang berpenyakit. Kawan saya diberi pilihan untuk berhenti kerja walaupun syarikat tahu dia masih fit untuk bekerja.”
“Hakikat memang pahit untuk ditelan.”
Antara komen ditinggalkan pengikut Fazley.
Terdahulu, anak lelaki tunggal Allahyarham Ridzuan Hashim dan Didie Alias iaitu Muhammad Dhanial, mendedahkan ayahnya sudah tiga tahun menghidapi penyakit jantung.
Walau bagaimanapun katanya, arwah memilih untuk mendiamkan hal itu dan tidak mahu menghebahkannya kerana bimbang periuk nasi akan terjejas.
Allahyarham Ridzuan, 62, meninggal dunia di rumahnya di Bandar Tun Razak antara jam 11 sehingga 12 tengah hari ketika sedang bersarapan bersama anaknya. – BOOM!