Penyanyi popular, Khai Bahar menegaskan, dia seorang yang tidak suka mencari masalah dengan orang lain.
Khai atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin berkata, enam tahun bertapak dalam industri hiburan memberikan banyak pengalaman berharga buat dirinya.
“Saya sendiri pun memang jenis orang yang tidak suka ada masalah dengan orang lain. Jadi saya akan tetap begini, sentiasa ingatkan diri supaya kekal begini,” katanya.
Dia berkata demikian bagi mengulas tanggapan umum terhadapnya yang dilabel artis paling mudah didekati, malah bersih daripada dilanda kontroversi.
Selain itu, Khai ketika ditemui pada majlis makan malam dan ramah mesra bersama ahli kelab peminat Khai Bahar Empire (KBE) di Kuala Lumpur memberitahu, acara tahunan tersebut dianjurkan kembali selepas dua tahun ditangguhkan.
Bertemakan adiwira dan watak filem popular, Khai pada malam tersebut kelihatan segak menggayakan kostum Dr Strange daripada Marvel Studios.
“Tahun ini kita buat kelainan sikit dan semua bersetuju untuk tampil dengan tema ini. Terima kasih kepada ahli KBE yang datang termasuk dari Singapura dan Indonesia.
“Jumlah semuanya lebih daripada 300 orang dan semuanya sporting datang dengan memakai kostum masing-masing.
“Saya sendiri memilih watak Dr. Strange kerana saya pun memang sangat minat dengan watak ini. Bila lagi nak jadi Dr Strange kan?” katanya ketawa.
Mengulas mengenai hubungan rapat yang terjalin di antara dia dan peminat, Khai berkata tidak ada rahsia cuma dia sentiasa cuba untuk menghargai mereka yang telah banyak menyokong.
“Tanpa mereka siapalah saya. Apapun kejayaan saya capai sekarang, kebanyakan besar datang daripada pertolongan mereka.
“Dari dulu, saya ingin sentiasa rapat dan cuba menghargai setiap peminat sebaik mungkin.
“Kalau lebih kerap jumpa, saya lebih suka. Akan tetapi kesibukan jadi penghalang utama,” katanya akur.
Dalam perkembangan lain, Khai turut mendedahkan sedang dalam persiapan untuk single terbaharunya yang merupakan lagu duet bersama Nabila Razali. – BOOM!