Pelakon, Roy Azman, 53, menyifatkan pengalaman ngeri dilaluinya bersama isteri dan anak bongsu yang terselamat selepas kereta dinaiki mereka terbakar malam tadi adalah rezeki daripada Allah.
Roy atau nama sebenarnya, Zairosminan Abdul Rahman berkata, dia dan keluarga amat bersyukur diselamatkan oleh Allah daripada kejadian itu dan berterima kasih kepada orang ramai yang prihatin dan mendoakan mereka.
Menceritakan detik cemas itu dalam video dimuat naik di Instagram, Roy berkata, kereta jenis Peugeot RCZ itu baru diambil dari bengkel di Ampang petang semalam selepas siap melakukan ‘overhaul’.
“Kereta itu saya hantar ‘overhaul’ di Ampang dan petang semalam, saya dah ambil (kereta) sebab dah siap ‘overhaul’.
“Kami (bersama isteri dan anak) kemudian pergi keluar makan dengan kawan-kawan di Puncak Alam dan balik dalam jam 11 lebih (malam). Ketika dalam perjalanan ada pemandu lain membunyikan hon beritahu kereta kami sudah mula terbakar.
“Tapi, mulanya tak nampak pun ada api bawah itu dan di belakang kerana kita tengah memandu dan kereta pun bergerak. Apabila pemandu lain hon dan tersedar ada kebakaran, nak berhenti tepi, brek pula ‘kosong’ (tak berfungsi). Nasib baik brek tangan masih berfungsi.
“Kereta menjajar sedikit, tapi dapat berhenti dan nasib baik tak langgar ‘divider’ (penghadang jalan). Kalau langgar ‘divider’, terpelanting ke, terbalik, memang tak tau nak cakap apa sebab api pun tengah kuat,” katanya.
Roy berkata, api marak dengan begitu pantas, namun dia dan isterinya pantas menyelamatkan anak bongsu mereka untuk dibawa keluar dari kereta.
“Masa berhenti itu pun, api terus merebak besar. Kami keluar kereta, ambil anak dan isteri saya pun kelam-kabut, tapi syukur dapat selamatkan anak bongsu. Kami juga berjaya lari selamatkan diri.
“Memang rezekilah, Allah selamatkan kami daripada perkara tidak diingini. Tapi, syukur sangat-sangat dan itulah kejadiannya,” katanya mengakui ramai menghubungi untuk bertanya keadaan sebenar, termasuk media.
Menurut Roy, bagi memudahkan semua pihak dan dirinya untuk menceritakan perkara yang sama, dia membuat keputusan memuatnaik video penjelasan di platform media sosial.
“Pada semua yang mendoakan terima kasih banyak dan ramai sangat yang telefon saya sejak pagi tadi sampai tak boleh nak angkat. Semua urusan kereta, termasuk laporan polis selesai dibuat pada jam 6 pagi.
“Ini pun saya tak tidur lagi dan sekarang ada di lokasi penggambaran dan nak sambung semula,” katanya.
Terdahulu, Roy berkongsi kejadian itu dengan memuatnaik video dan gambar keretanya sedang terbakar itu di Instagram dan Facebook kira-kira jam 7.30 pagi, hari ini.
Dalam kejadian berkenaan, kereta Roy rentung dan musnah 100 peratus.
Bapa kepada lima anak, Roy mendirikan rumah tangga dengan penyanyi kumpulan Princess, Rafidah Mohd Razali pada 2006. – JURNAL
Sumber: HARIAN METRO