Lebih setengah tahun menyimpan rahsia, baru semalam aktres Farali Khan mendedahkan bahawa dirinya sudah bergelar isteri kepada seorang peragawan kacak dan terkenal di pentas fesyen.
Jelas Farali atau nama penuhnya Norfara Ali Dad Khan, 34, dia perlu membuat pengumuman itu kerana dia sedang hamil tujuh bulan dan tidak mahu timbul sebarang fitnah.
“Sejak dari awal lagi, saya memang jenis yang jaga privasi dan tak suka berkongsi hal peribadi kepada khalayak.
“Saya rasa inilah masa paling sesuai untuk beritahu yang saya sudah bersuami, apatah lagi filem lakonan pun akan ditayangkan tidak lama lagi.
“Lagipun badan saya jelas kelihatan sudah berisi dan tak mungkin saya boleh sorokkanya lagi,” ujarnya yang mesra disapa sebagai Fara.
Menurutnya, upacara pernikahan dengan jejaka tinggi lampai dikenali sebagai Qireen itu berlangsung secara tertutup pada 1 September 2022 dan hanya dihadiri ahli keluarga terdekat.
Dalam majlis tersebut, pasangan yang mula berkenalan ketika sama-sama menyertai acara larian marathon itu dinikahkan oleh abang kandung Fara sendiri, Miller Khan yang terbang bersama isterinya dari Indonesia ke Malaysia.
Menerusi beberapa keping foto sekitar acara berlangsung hasil perkongsian aktor berkenaan di akaun media sosial, kelihatan pasangan selebriti yang juga adik kepada Miller dan Fara iaitu Isa Khan turut hadir ditemani isterinya, Risteena Munim.
Terdahulu, Fara ditemui pada malam tayangan perdana filem Tujuh Dua Belas lakonannya serta barisan pelakon hebat seperti Johan As’ari, Chintya Candranaya, Idzham Ismail dan Adam Darwish yang diadakan malam tadi. – BOOM!