Gelagat penyanyi sensasi, Baby Shima memuat naik hantaran video minum air dalam botol susu sekali lagi mengundang kecaman.
Baby Shima atau nama sebenarnya, Nor Ashima Ramli, 30, video itu dirakam sekadar mahu menunjukkan botol minuman yang dianggap unik.
“Kontroversi? Video ini memaparkan saya sedang berkongsi dengan pengikut yang mana botol air itu unik. Itu sahaja, tidak lebih daripada itu,” katanya ringkas.
Baby Shima bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai video tersebut.
Dalam perkembangan lain, Baby Shima bakal tampil dalam Konsert Goyang Asia Koplo Milenia di Pusat Ekuestrian Bukit Kiara pada 12 Ogos depan.
Diminta mengulas pembabitannya dalam konsert itu, Baby Shima berkata, dia teruja berkongsi pentas dengan penyanyi dangdut popular dari Indonesia.
“Saya tidak sabar beraksi satu pentas bersama rakan-rakan penyanyi dangdut dari Indonesia bergoyang di Malaysia. Harap genre dangdut dapat kembali memeriahkan industri muzik tanah air.
“Bercakap mengenai persiapan, saya tiada membuat persiapan. Saya langgar sahaja dan membuat persembahan macam biasa. Apa yang keluar ketika persembahan, itulah jadinya.
“Selebih saya serahkan kepada penganjur yang berhempas pulas mengeluarkan bajet untuk menjayakan konsert ini. Sebagai artis, saya hanya bekerja untuk menjayakan konsert ini,” katanya.
Selain Baby Shima, konsert yang bakal berlangsung tiga jam di Pusat Ekuestrian Bukit Kiara itu menampilkan pejuang irama dangdut tempatan, Ani Mayuni serta penyanyi dangdut popular dari Indonesia iaitu Siti Badriah, Fitri Carlina, Hesty Klepek Klepek dan Rhena Morena.
Turut hadir, bintang undangan yang juga pelopor genre dangdut tanah air Mas Idayu, Amelina dan Ramlah Ram.
Konsert juga bakal menampilkan pengacara, Didie Alias sebagai hos bersama Shandrra Rose dari Indonesia. – BOOM!