Selepas 16 tahun meninggalkan Raihan, bekas ahli kumpulan tersebut iaitu Nazrey Johani mendedahkan punca sebenar dia membuat keputusan itu dahulu.
Menurutnya, sepanjang bersama kumpulan nasyid popular itu, hatinya tidak tenang kerana hidup dalam perhatian ramai.
Berdasarkan pendedahannya menerusi video di laman TikTok, Nazrey akui, dia tidak pernah berasa bangga atas populariti dikecapi Raihan dari seluruh dunia.
“Selama saya dengan Raihan, hati saya tak tenang. Walaupun pergi ke luar negara, saya tidak pernah memikirkan soal populariti, sebaliknya hanya fikir tentang kerja,” kata Nazrey.
Tambahnya, dia sentiasa berdoa agar diberikan kekuatan untuk meninggalkan kumpulan tersebut yang ketika itu berada di puncak kemasyhuran.
Biarpun keputusan diambilnya itu seakan-akan mengundang kemarahan ahli lain, namun mereka tidak membantah, malah menghormati pendiriannya.
Mengimbas saat keputusan drastik itu dibuat sekitar Januari 2006, ia terlintas di fikirannya usai terlibat dengan kerja-kerja dakwah di negeri asalnya, Sabah.
“Sehari selepas program dakwah selesai dan sesudah menunaikan solat Asar, tiba-tiba ada suara berbisik di telinga saya lalu terus ke hati.
“Suara itu beritahu, ‘Nazrey, teruskanlah usaha dakwahmu tetapi ingat, yakinlah dengan rezeki-Ku’. Begitulah pesan bisikan tersebut,” cerita Nazrey pertama kali mendedahkan momen pengundurannya.
Tersentak dengan peristiwa dialaminya itu, lantas dia menyuarakan hasratnya kepada rakan-rakan lain dan dari titik itulah jodohnya bersama Raihan berakhir. – BOOM!