Di sebalik populariti lagu Balik Kampung nyanyian asal Allahyarham Sudirman Arshad yang kerap diputarkan tatkala menjelangnya Aidilfitri, ironinya, ia bukanlah lagu untuk sambutan hari raya.
Dicipta pada 1984 oleh komposer terkemuka tanah air iaitu S Atan, tujuan asal lagu tersebut dihasilkan adalah untuk menggambarkan keseronokan pemuda-pemudi di kota pulang ke kampung untuk mengundi.
“Sebab itulah kalau diamati betul-betul, tidak ada langsung menyebut fasal hari raya di dalam bait-bait liriknya.
“Lagu ini saya cipta sempena kempen pilihan raya bagi menggambarkan perasaan anak muda dapat bercuti dan pulang ke kampung untuk menunaikan tanggungjawab mereka sebagai rakyat Malaysia.
“Bagi menambahkan jiwa dan rasa, lagu ini disuntik dengan elemen sama seperti yang selalu kita rasai sewaktu balik berhari raya di desa tercinta.
“Ia dimuatkan dalam album ke-11 milik Sudirman berjudul Lagu Dari Sebuah Bilik oleh syarikat rakaman EMI.
“Sejujurnya, saya tak sangka lagu ini akan jadi ‘evergreen‘ (malar segar) hingga ke hari ini sebaik tibanya musim perayaan,” ujarnya ketika ditemu bual.
Sebagai rekod, selain Balik Kampung, S Atan yang aktif sebagai penerbit dan komposer sejak awal 1970-an sudah mencipta lebih 50 lagu raya dan hampir kebanyakannya kekal hit hingga ke hari ini. – BOOM!