Pelawak dan penyampai radio, Shuib meneruskan tindakan saman terhadap individu bernama ‘John Dihani’ yang didakwa telah memfitnahnya menerusi media sosial.
Shuib yang diwakili peguam, Syed Afiq Syed Albakru dan Muhammad Shakir Shaharuddin berkata, tindakan saman diteruskan selepas, ‘John Dihani’ atau Md Johan Dihani Mohd Zaidi, menerusi peguamcara telah menarik balik permohonan maaf yang dilakukan sebelum ini.
“Pada 4 Julai, dia membuat permohonan maaf di Instagram Story tetapi pada 10 Julai dia menghantar surat tidak bersetuju dan menafikan segala apa yang dia dah keluarkan.
“Disebabkan itu saman diteruskan, dan yang seterusnya saya serahkan kepada mahkamah,” katanya.
Shuib ditemui ketika majlis sidang media mengenai status terbaharu, isu membabitkan John Dihani.
Tambah Shuib lagi, dia sentiasa bersedia untuk berhadapan dengan John Dihani di mahkamah sehingga kes selesai.
“Ada orang tanya, tak susah ke turun naik mahkamah, tetapi bagi saya untuk kes ini saya sudah bersedia dan akan meluangkankan masa untuk ke mahkamah,” katanya.
Dalam pada itu, Shuib berharap agar isu ini boleh dijadikan pengajaran kepada kepada orang lain supaya lebih berhati-hati menggunakan sosial media.
“Ini bukan hanya mengenai nama baik saya, tetapi juga berkenaan dengan kesejahteraan dan budaya masyarakat kita yang mengamalkan nilai-nilai murni.
“Saya mengambil tindakan ini sebagai seorang warganegara yang prihatin terhadap budaya rakyat Malaysia yang saling menghormati antara satu sama lain.
“Kita sering menyaksikan penyebaran fitnah dan maklumat palsu yang dapat merosakkan reputasi pihak- pihak yang tidak bersalah.
“Saya ingin menegaskan bahawa saman fitnah in bukan hanya untuk saya sebagai seorang individu, tetapi ia adalah langkah proaktif untuk melawan budaya fitnah yang tidak melambangkan budaya masyarakat Malaysia,” katanya.
Terdahulu, Shuib mengambil tindakan terhadap seorang pengguna media sosial selepas menuduhnya anggota organisasi Freemason, selain didakwa sengaja membiarkan Siti Sarah ditidurkan sebelum meninggal dunia akibat jangkitan COVID 19 dua tahun lalu. – BOOM!