Dengan sekali lafaz, Sharifah Amani atau Nani kini sah bergelar isteri kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Impact Integrated iaitu Ahmed Faris Amir, 34, dalam satu majlis tertutup yang diadakan di sebuah premis acara di Lembah Klang hari ini.
Pasangan itu dinikahkan oleh Ketua Imam Masjid Saidina Umar Al Khattab, Bukit Damansara, Mohd Rahimi P Ramlee berwalikan bapa pengantin perempuan, Syed Zainal Rashid Syed Zainal Abidin.
Pada majlis yang dihadiri seramai 200 tetamu itu, Faris menyerahkan mas kahwin sebanyak RM300 dan disertakan lima dulang hantaran berbalas tujuh daripada pihak Nani.
Bagaimanapun, jumlah wang hantaran dirahsiakan atas permintaan keluarga kedua-dua belah pihak.
Anggun mengenakan persalinan berrona putih, Nani amat bersyukur kerana perancangan hari bahagianya sejak beberapa bulan lalu berjalan lancar.
“Alhamdulillah, di sebalik ujian pandemik Covid-19 melanda dunia sejak dua tahun lalu, impian, niat dan hajat yang saya simpan selama ini dimakbulkan.
“Biarpun semuanya berlaku dengan begitu pantas, saya percaya ada hikmah tersendiri hingga menyatukan kami sebagai pasangan suami isteri yang sah.
“Semoga permulaan fasa baharu ini akan terus mematangkan saya dan suami, insya-Allah,” kata anak kepada pelakon dan guru lakon, Fatimah Abu Bakar itu.
Berkongsi detik perkenalan, mereka bertemu tiga tahun lalu ketika Nani atau nama penuhnya Sharifah Amani Syed Zainal Rashid Al-Yahya, 36, memikul tugas selaku Ahli Lembaga Pemegang Amanah dalam organisasi yang diketuai Faris.
“Bagaimanapun, tiga tahun lalu, kami bekerja atas paksi profesional, tiada rasa cinta.
“Dipendekkan cerita, selepas Covid-19, masing-masing solo. Cinta bertandang tanpa diduga hingga akhirnya kami diizinkan bertemu jodoh,” dedahnya.
Berkongsi perancangan berbulan madu, pasangan itu belum membuat sebarang keputusan, manakala ditanya soal zuriat, mereka tidak menolak rezeki andai dikurniakan cahaya mata sebagai pengikat kasih. – BOOM!