Penyanyi baharu naungan KRU Music, Timur Flores baru-baru ini membuat kemunculan pertamanya menerusi debut berjudul Not A Criminal.
Menariknya, karya yang dikeluarkan dalam tiga bahasa iaitu Melayu, Inggeris dan Mandarin itu mendapat sentuhan penerbit muzik ternama antarabangsa, Gustav Efraimsson yang pernah menerbitkan lagu-lagu hit nyanyian artis K-pop.
Selain itu, Timur atau nama penuhnya Timur Flores Ling Schnyder, 26, yang berdarah kacukan Malaysia – Switzerland itu turut membuat persembahan dalam 4 siri video muzik arahan pengarah terkenal, Datuk Yusry Abdul Halim, di samping bimbingan vokal penyanyi ternama, Datuk Syafinaz Selamat.
“Sebagai artis baharu, saya amat berterima kasih atas sokongan diberikan oleh tenaga profesional bertaraf dunia seperti Gustav.
“Tidak dilupakan Syafinaz merangkap jurulatih vokal saya serta Yusry yang telah mengarahkan video muzik saya.
“Sudah hampir dua tahun sejak pengurusan di bawah KRU Music saya mengusahakan projek ini dan akhirnya single pertama saya kini dikeluarkan.
“Ini merupakan satu pengalaman mengujakan dan berharap peminat akan menyukai muzik saya dan akan terhibur menonton siri video muzik yang berepisod, saling berkait antara satu sama lain,” ujar Timur.
Not A Criminal diterbit dan diadunkan di Sweden, di mana lagu bergenre pop dance itu menggabungkan barisan komposer terkemuka dunia seperti Hayden Bell (EXO/Super Junior), Ronny Svendsen (Girl’s Generation/ITZY) dan Anne Judith (NCT 127 /Kylie Minogue).
Sementara itu, Gustav sendiri sebelum ini terbabit dalam pembikinan artis K-pop popular seperti Monsta dan NKOTBSB. – BOOM!