Penyanyi Ara Johari tidak menolak sekiranya diberikan tawaran berlakon selepas seronok menjayakan watak ibu tiri antagonis menerusi muzik video (MV) single terbaharunya berjudul Sumpahan Salju.
Menurut Ara atau nama sebenarnya, Nurfarrah Izzatie Johari, 25, dia sendiri tidak menyangka mampu membawakan karakter sedemikian ketika menjalani penggambaran MV lagu berkenaan beberapa bulan lalu.
Walaupun tidak menuturkan sebarang dialog dalam MV tersebut, namun keupayaan Ara memberikan ‘look’ ibu tiri yang jahat mendapat pujian daripada peminat yang sudah menonton MV berkenaan.
“Sebenarnya saya tak suka bawa watak antagonis tapi bila dah cuba, best juga sebenarnya.
“Bila bawa watak orang jahat, dia macam terus masuk… memang smooth dan tak susah.
“InsyaAllah kalau diberikan tawaran, saya bersedia menerima dan ikut watak jugalah, tak nak yang terlalu susah sangat takut nanti memberi masalah kepada pihak produksi,” katanya.
Sumpahan Salju yang dicipta oleh Zimi dan Jerry mengambil adaptasi daripada kisah dongeng Snow White yang cukup terkenal di kalangan kanak-kanak. – BOOM!