Sejak semalam, desakan dari warganet terus memuncak, meminta penjelasan daripada usahawan dan ikon fesyen terkenal, Datin Vivy Yusof, berkenaan isu kerugian pelaburan yang melibatkan Khazanah Nasional Bhd dan Permodalan Nasional Bhd (PNB), dengan kerugian sebanyak RM43.9 juta melalui penjualan saham dalam Fashion Valet Sdn Bhd.
Menjawab tekanan tersebut, Vivy atau nama penuhnya Vivy Sofinas Yusof memuat naik beberapa hantaran di Instagram Story. Dalam salah satu hantaran tersebut, Vivy, 36, menyatakan dirinya tidak mahu terburu-buru memberikan kenyataan.
“Sangat banyak yang saya ingin katakan tetapi pada masa yang sesuai, insya-Allah,” tulis Vivy, memberikan bayangan bahawa jawapan akan diberikan pada waktu yang lebih tepat.
“Buat masa ini, saya biarkan apa yang mereka mahu katakan. Cuma berhati-hati dengan fitnah yang awak sebarkan tentang orang lain,” tambah Vivy.
Vivy juga memuat naik gambar dirinya menerima rawatan di sebuah pusat perubatan tanpa menjelaskan butiran lanjut mengenai masalah kesihatannya.
“Buat masa ini, saya sedang ‘berjuang’ dengan ini,” katanya, memberikan sedikit gambaran bahawa kesihatannya menjadi perhatian.
“Saya akan kongsikan tentang perkara ini juga tidak lama lagi,” tambahnya lagi.
Perkembangan ini menambah persoalan ramai yang tertunggu-tunggu penjelasan Vivy mengenai kontroversi tersebut, lebih-lebih lagi apabila isu pelaburan melibatkan dana besar dari entiti berprofil tinggi seperti Khazanah dan PNB. – BOOM!