KRU, trio muzik ikonik Malaysia, sekali lagi membuktikan keunggulan mereka sebagai penyanyi, komposer, dan penerbit dengan pelancaran single kedua daripada album Kaset, bertajuk “One More Time“. Lagu ini menampilkan kekuatan vokal Norman, Yusry, dan Edry, dengan emosi yang menusuk jiwa, menggambarkan kematangan mereka dalam berkarya.
Dicipta sepenuhnya oleh KRU, “One More Time” membawa pendengar ke era muzik R&B 90-an yang menjadi DNA kumpulan ini. Lagu ini menyentuh hati, mengisahkan kekecewaan seorang insan yang gagal dalam percintaan namun terpaksa menerima kebahagiaan bekas kekasihnya bersama orang lain.
Keistimewaan lain lagu ini adalah penggunaan teknologi AI melalui kembar digital (Digital Twin) dalam video muziknya. Video tersebut memperlihatkan transformasi wajah KRU dari masa lalu, kini, dan masa depan, memberikan pengalaman visual dan emosi yang luar biasa kepada peminat.
“KRU sememangnya artis serba boleh,” ujar Kenny Ong, Pengarah Urusan Sony Music Entertainment Sdn Bhd.
“Kami percaya “One More Time” akan menjadi lagu klasik yang kekal relevan untuk puluhan tahun akan datang,” tambahnya.
Sebelum ini, single pertama album Kaset, “Voodoo”, mendapat sambutan hebat bukan hanya di Malaysia tetapi juga di Singapura, Brunei, Indonesia, United Kingdom, dan Amerika Syarikat. Video muzik “Voodoo” mencatat lebih 1.2 juta tontonan di YouTube dalam tempoh singkat.
“Tradisi kami adalah mengeluarkan lagu balada selepas single pertama yang rancak,” kata Norman mewakili KRU.
“Kami berharap “One More Time” mendapat sambutan hangat sekaligus mengekalkan momentum album Kaset,” tambahnya.
“One More Time” boleh didengari di semua platform digital seperti Apple Music, Spotify, dan YouTube Music mulai 17 Januari 2025. Untuk info terkini, ikuti KRU di platform media sosial rasmi mereka. – BOOM!