Pelakon Will Smith diharamkan menghadiri Academy Awards dan lain-lain majlis di bawah penganjuran pihak Akademi Seni Filem selepas insiden kekasaran yang dilakukannya terhadap pelawak Chris Rock.
Keputusan yang dibuat oleh 64 ahli Akademi itu dibuat menerusi satu mesyuarat yang berlangsung selama hampir tiga jam, semalam.
“Saya terima dan hormat dengan keputusan yang dibuat pihak Akademi,” kata Will terhadap hukuman yang diterimanya itu.
Walaupun Will dilarang hadir ke majlis penganjuran Akademi, namun dia masih lagi boleh tercalon dalam Anugerah Oscars sekiranya mendapat pencalonan di masa akan datang.
Majlis Anugerah Oscar ke-94 yang diadakan pada 28 Mac lalu dicemari insiden Will melempang Chris di atas pentas kerana berasa kurang senang dengan jenaka pelawak itu yang mengusik imej rambut botak isterinya, aktres Jada Pinkett Smith.
Jada menghidap penyakit Alopecia, satu penyakit keguguran rambut kronik yang mana memaksanya untuk membotakkan kepala. – BOOM!