Komposer dan penyanyi, Yasin Sulaiman, hari ini dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan 16 sebatan oleh Mahkamah Tinggi selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan berkaitan dadah yang dihadapinya sejak dua tahun lalu.
Keputusan ini diumumkan oleh Hakim Datuk Norsharidah Awang setelah menerima rayuan pendakwaan terhadap keputusan Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Faiz Dziyauddin, yang sebelum ini membebaskan Yasin.
Yasin, atau nama sebenarnya Muhammad Yasin Sulaiman, 48, yang sebelum ini ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak atas perkenan Sultan Selangor, digari oleh pihak polis dan dibawa terus ke Penjara Kajang.
“Hari ini adalah hari yang gelap untuk saya,” kata Yasin sebelum dibawa polis.
Pendakwaan dalam kes ini dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dan Ahmad Zuhaini Mahamad Amin, manakala peguam Ariff Azami Hussein mewakili Yasin.
Pertuduhan pertama yang dihadapi oleh Yasin melibatkan pemilikan dadah jenis Kanabis seberat 193.7 gram di sebuah kondominium di Kota Damansara pada 24 Mac 2022.
Bagi kesalahan ini, Yasin didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan berdepan hukuman penjara seumur hidup atau sekurang-kurangnya lima tahun, serta sebatan minimum 10 kali jika sabit kesalahan.
Pertuduhan kedua pula melibatkan penanaman 17 pokok Kanabis di tempat dan waktu yang sama.
Yasin didakwa mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan sebatan minimum enam kali jika didapati bersalah.
Bagi pertuduhan ketiga, Yasin didakwa memberikan dirinya dadah jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9-carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik IPD Petaling Jaya pada malam yang sama.
Kesalahan ini didakwa di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara hingga dua tahun jika sabit kesalahan.
Sumber: Berita Harian