Bagai sudah jatuh ditimpa tangga, begitulah nasib yang menimpa pelakon Puteri Balqis atau Aqish apabila namanya digugurkan daripada penggambaran drama untuk siaran sebuah televisyen swasta gara-gara dakwaan kes cabul ke atasnya.
Perkara tersebut didedahkan sendiri oleh ibu Aqish iaitu Norashikin Mohd Aziz atau Ashikin yang bimbang memikirkan masa depan kerjaya seni anaknya itu.
“Sedih untuk beritahu, tawaran kerja untuk sebuah stesen televisyen swasta sebanyak 14 episod ditarik balik. Biasalah kes tengah viral.
“Saya juga bimbang jualan buku juga akan perlahan,” ujarnya.
Selain berlakon, Aqish juga meraih pendapatan menerusi jualan buku hasil nukilannya sendiri iaitu 38 Poems of Puteri Balqis.
Meskipun bimbang akan kelangsungan hidup, Ashikin percaya dengan rezeki yang diatur Allah buat mereka berdua.
“Saya risau, tetapi kami dikelilingi orang-orang yang baik dan amat membantu. Itu sudah memadai untuk saya terus kuat,” katanya optimis.
Difahamkan nama Aqish digugurkan selepas pelakon itu secara terbuka membuat pendedahan pernah dicabul bapanya, Azizi Aziz menerusi temu bual podcast Bros Gang TV pada Sabtu lalu.
Remaja berusia 15 tahun itu juga telah membuat laporan polis berhubung dakwaannya di Balai Polis Sri Damansara, Petaling Jaya Selangor pada Isnin lalu.
Pun begitu, bapanya turut membuat laporan polis di Balai Polis Bandar Baharu, Kedah pada hari yang sama bagi menafikan salah lakunya. – BOOM!
Apakah terjadi kepada puteri balqis azizi
dengan bapanya sendiri.