Aktor handalan, Beto Kusyairy menjadi seorang lagi pelakon filem Mat Kilau yang mengesahkan tidak akan menyertai rombongan produksi ke tayangan gala filem berkenaan di Jakarta, Indonesia pada 26 Ogos ini.
Perkara itu didedahkan Beto ketika ditemui pihak media sewaktu majlis tayangan perdana filem terbaharunya yang berjudul Anak Rimau The Movie.
Menurut Beto atau nama sebenarnya Nur Kusyairy Zakuan, 42, dia tidak dapat ke Jakarta kerana sudah terikat dengan komitmen lain.
“Saya ada dapat jemputan untuk sama-sama ke sana. Tetapi komitmen tak mengizinkan.
“Namun saya berharap filem kita mendapat sambutan di sana, tambahan pula Mat Kilau turut dibintangi oleh pelakon Indonesia iaitu Yayan Ruhian,” ujarnya.
Ditanya sama ada dia mencari peluang untuk melebarkan sayap lakonannya di negara jiran itu, Beto bagaimanapun tidak pernah meletakkan sasaran.
“Saya rasa macam saya sudah terlambat, umur pun dah berusia. Saya tidak meletakkan perkara itu sebagai motivatisi diri. Saya buat sahaja kerja, kalau ada rezeki dan dibuka ruang untuk meluaskan bakat saya ke sana, Alhamdulillah saya akan cuba dan teruskan,” tambahnya.
Pada masa sama, Beto turut mengulas konflik yang berlaku antara syarikat produksi Studio Kembara bersama beberapa pelakon Mat Kilau selepas mengukir kejayaan luar biasa.
Kata Beto, tidak seharusnya dikeruhkan lagi perkara yang sudah keruh.
“Seharusnya kita menjernihkan kembali segala kekeruhan yang berlaku sebab industri kita tidak besar. Pusing-pusing kita akan jumpa orang yang sama.
“Mudah-mudahan ada penyelesaian yang baik, itu sahaja harapan saya,” katanya.
Terdahulu, pelakon utama yang membawa watak Mat Kilau iaitu Datuk Adi Putra memberitahu bahawa dia tidak akan menghadiri majlis tayangan gala filem berkenaan di Jakarta selepas gagal menghubungi pihak produksi.
Beberapa hari lalu pula, seorang lagi pelakon filem berkenaan iaitu Johan As’ari telah digugurkan daripada menyertai rombongan tersebut. – BOOM!