Pelakon, pengarah dan penerbit, Farid Kamil mendedahkan pernah disogokkan rasuah berjumlah RM5 juta, sama seperti dilalui tokoh politik, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Persamaan itu jugalah yang diakui Farid, menjadi antara faktor dia menyokong perjuangan Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).
“Saya menyokong perjuangan Datuk Seri Anwar apabila apa yang berlaku pada dia, pernah juga berlaku pada saya pada 2017.
“Ketika itu saya pernah dirasuah sebanyak RM5 juta, tapi saya tolak. Akibat dari menolak rasuah tersebut, sangat buruk. Saya rasa semua orang tahu dulu rasuah berleluasa di Malaysia.
“Siapa yang terima duit itu akan selamat dan siapa yang tidak ambil, mereka akan diperlakukan seperti pesalah. Itulah yang berlaku kepada saya apabila tidak ambil rasuah tersebut.
“Kesan menolak rasuah, orang gunakan kita untuk menjatuhkan kita. Itulah persamaan Anwar Ibrahim dan Farid Kamil. Mungkin Perdana Menteri Ke-10 ini boleh menukarkan masalah ini dengan sistem lebih baik,” katanya.
Farid berkongsi perkara itu apabila ditanya mengenai keterbukaannya menerima tawaran menjayakan watak Anwar Ibrahim menerusi filem terbitan produksi Indonesia, Bianglala Entertainment berjudul Anwar, The Untold Story.
Filem arahan Viva Westi itu mengangkat perjuangan tokoh politik Malaysia tersebut yang menentang rasuah dari 1993 sehingga 1998.
Justeru, kata Farid atau nama sebenarnya Farid Kamil Zahari, 42, dia berbangga dapat menjayakan watak yang dekat dengan dirinya.
“Disebabkan persamaan itu membuatkan saya rasa bertuah apabila diberikan mandat untuk memegang watak Anwar.
“Dan saya juga rasa berbangga apabila menjadi antara empat pelakon dari Malaysia yang dipilih.
“Saya ingat saya menemui penghujung karier saya sebagai pelakon tapi ada lagi rezeki yang Allah bagi untuk saya menerusi filem Anwar ini,” katanya ketika ditemui di majlis pelancaran filem berkenaan pada petang Rabu.
Dalam pada itu Farid meluahkan rasa syukur apabila proses penggambaran filem tersebut berjalan lancar tanpa sebarang halangan.
Sepanjang menjalani penggambaran filem itu di Indonesia, Farid berkata pelakon dan pihak produksi tidak pernah menerima gangguan daripada mana-mana pihak.
“Tiada langsung sebarang gangguan ketika penggambaran, malah saya diberi kebebasan menzahirkan watak Anwar.
“Kami menghasilkan filem secara senyap, sehinggalah sekeping foto dimuat naik oleh seorang pelakon dan ia mula tular.
“Dari saat itu, kami memang berhati-hati. Watak saya lakon bukan watak rekaan, ramai yang tahu apa dialami beliau,” tambahnya.
Selain Farid, filem tersebut turut dibintangi aktres popular Indonesia, Acha Septriasa serta Hasnol Rahmat dan Firdaus Karim.
Anwar, The Untold Story bakal ditayangkan di seluruh pawagam di Malaysia bermula Mei depan, namun tarikh tayangannya masih belum diumumkan. – BOOM!